Wednesday 29 August 2012

Keakraban seorang sahabat

Hari ini aku ingin kongsikan ciri-ciri shabat yang baik..

                                                                  sahabat selamanya


Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuanNya."

Berdasarkan ayat diatas fitrah kejadian manusia adalah berpasangan. Bersahabat juga boleh kita katakan berpasangan. Oleh itu, kita tahu manusia ini diciptakan Allah SWT berbeza maka hendaklah kita memastikan perbezaan itu biarlah tidak pada akhlak dan perangainya yang jauh dari kebaikan. Dan hendaklah kita mencari sahabat yang sentiasa menyedarkan kita dari terjatuh ke lembah kelalaian dan kehinaan. Bak kata-kata :-
'’Sahabat yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..'’


Namun begitu, janganlah hanya kita inginkan sahabat yang baik tetapi kita tidak menjadi seorang sahabat yang baik. Untuk itu kita sama-samalah kita menjadi sahabat seperti yang disebutkan didalam hadis ini :-


“Sebaik baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)


Di samping itu, sahabat itu juga sebenarnya menjadi kayu ukur kepada orang lain tentang diri kita sendiri. Jika kita imbau sejarah nabawiyyah dan sahabat-sahabat dulu sifat-sifat yang ada pada diri mereka adalah terbitnya kerana persahabatan yang terjalin diantara mereka. Dan apa yang penting sifat yang dibawa oleh mereka adalah sifat-sifat mahmudah dan mulia.Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita dan juga mencerminkan siapa diri kita.


Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasululah saw yang bermaksud:


“ Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud).


Pepatah arab juga ada mengatakan :-
“ Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”
Berdasarkan semua coretan dan hujah di atas, aku ingin kongsikan kepada semua apakah ciri-ciri sahabat mulia yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali.
“Imam Al-Ghazali berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

1. Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu
2. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu
3. Jika engkau menghulur sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik
4. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu
5. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu
6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.
7. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu , dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu.
8. Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya
9. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta) dia akan menanyakan kesusahan kamu
10. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
11. Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk atau maksiat.
12. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu 13. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu
14. Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.


Oleh itu, aku mengharap semua pembaca tidak kira usia berhati-hatilah jika memilih sahabat. Kerana sahabat, kita bahagia tetapi kerana sahabat juga boleh menjahanamkan kita. Hati-hatilah dan jauhilah sahaja sahabat seperti dibawah:

sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak,
dan ia hanya mementingkan diri sendiri.


sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.


sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.


sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta , suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan.


Walau apa pun..biarlah ikatan persahabat yang kita jalinkan adalah kerana mencari redha Allah SWT semata-mata dan mendapatkan kehidupan yang harmoni dan bahagia.

RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL

No comments:

Post a Comment